Hairan Suami Selalu Pulang Rumah Mak.. Akhirnya Terbongkar Juga Apa Yang Suami Buat Di Rumah Maknya !!!


Kisah Hani (bukan nama sebenar) ini merupakan pengakuan ikhlas seorang isteri terhadap perangai suami yang amat dicintainya. Namun setakat cinta dan kasih saja tidak mencukupi untuk menjerat hati suami kerana lelaki ini sukar dibaca hati mereka, kata Hani. Hani bukan sahaja berdepan dengan masalah suami yang tidak setia dan mata keranjang tetapi juga sikap mentua yang asyik memenangkan anaknya walaupun anaknya itu telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak yang masih kecil.

Ikuti kisah Hani seterusnya: “Ini kali pertama saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman bersama anda semua terutama wanita yang senasib dengan saya. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan, itu permintaan saya. “Kisah saya bukan istimewa sangat tetapi saya yakin ia mungkin turut dialami wanita di luar sana yang sedang bergelut dengan perasaan untuk mempertahankan rumah tangga mereka

. “Nama saya Hani berusia 20-an dan telah berkahwin dua tahun lalu dengan lelaki pilihan hati saya, seorang pegawai di sebuah bank. Kami telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia setahun lebih. “Alhamdullilah kehadiran cahaya mata ini memberi sinar baharu kepada saya. Tetapi suami pula menerimanya sebagai satu beban.

Bukan tujuan saya menceritakan keburukan suami tersayang tetapi sekadar meluahkan perasaan dan berkongsi pengalaman ini agar semua kaum wanita di luar sana mendapat iktibar daripada apa yang saya alami.

“Saya berkahwin dengan suami atas dasar suka sama suka, setelah hampir empat tahun bercinta ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di universiti. Keluarga merestui pernikahan kami dan saya sangat sayangkan suami dan anak. “ Merekalah segala-galanya dalam hidup saya.

Sebelum kahwin saya diberitahu yang suami pernah putus tunang. Maksudnya pertunangan sejak kecil atas dasar persaudaraan. Apabila berjumpa saya, suami minta diputuskan pertunangan dengan sepupunya kerana dia tidak mahu bernikah dengan saudara. “Salah satu perkara yang harus saya terima adalah takdir, kerana takdir jugalah yang telah menyatukan saya dengan suami. Saya yang pilih dia, saya harus akur dengan takdir yang telah disusun untuk saya.

“Di awal perkahwinan memang tiada masalah, kami sangat bahagia walaupun kadang-kadang ada perselisihan faham. Namun setelah saya melahirkan anak sulung kami, keadaan mula berubah. “Suami mula berubah. Dia banyak menghabiskan masa di rumah ibunya. Balik kerja di situlah dia bertapa. Rupa-rupanya saya mendapat tahu sepupu yang pernah menjadi tunangannya itu tinggal bersama ibunya sementara mencari rumah sewa kerana dia mendapat kerja di Kuala Lumpur.

“Empat bulan keadaan tidak berubah. Balik kerja dia terus ke rumah ibunya sedangkan saya bergelut dengan anak di rumah. Mana nak ambil anak di taska, nak buat kerja rumah lagi. Memang saya penat sangat. Bila saya bagi tahu suami, dia salahkan saya. Katanya dah tau penat kenapa beranak awal? “Tergamak dia kata begitu sedangkan anak itu kan rezeki dan anugerah Allah.

Masuk enam bulan, perang besar berlaku. Saya bertanya dengan baik kenapa dia selalu balik rumah maknya. Kan lebih baik balik rumah tolong saya jaga anak. Jawabnya malas, dia tak ada masa nak melayan anak, penat dan membebankan. “Mengucap panjang saya dengan kata-katanya itu. Dia tuduh saya cuba mengawal pergerakannya. Pada hal saya tahu dia ke sana untuk bersama sepupunya. Bahkan mereka selalu keluar berdua membeli-belah dan makan-makan tanpa pengetahuan saya.

“Saya sangat kecewa dengan sikap suami dan meminta dia berubah dan kembali seperti dulu. Tapi nak tahu apa yang saya dapat? Dia minta izin untuk berkahwin dengan sepupunya itu kerana masih sayangkan dia. “Kalau sudah sayang kenapa minta putuskan pertunangan dulu dan kahwin dengan saya? Memang betul lelaki pandai bermain kata-kata.

Sanggup melukakan hati isteri hanya kerana ingin puaskan hati sendiri. “Seperti yang saya bimbangkan, suami akhirnya berkahwin dengan sepupunya dengan restu mertua saya. Dalam sekelip mata seluruh keluarga itu berubah dan menyalahkan saya di atas apa yang berlaku. Pada hal, anak dia yang buat salah, saya yang terkena tempiasnya.

“Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Keluarga saya mengamuk dan mahu bersemuka dengan suami tapi saya tidak benarkan. Kata saya pada mak dan ayah, orang dah tak nak, kita jangan terhegeh-hegeh lagi. Saya masih boleh hidup tanpa dia. “Sakitnya hati, hancur luluh mengenangkan dia melayan sepupunya dengan penuh kasih sayang sedangkan saya terabai dengan anak yang masih dahagakan kasih seorang bapa.

Pada masa yang sama, saya berharap saya tidak akan lama menanggung derita ini. Saya tidak sanggup berkongsi kasih dengan orang lain. “Sokongan keluarga terus menjadi kekuatan saya. Saya melakukan solat hajat dan beramal ibadat sepenuh hati untuk mendapatkan ketenangan. “Akhirnya saya mendapat petunjuk dari Allah SWT. Saya merendah diri dengan pergi berjumpa suami dan meminta supaya dia melepaskan saya dengan baik. Saya tidak mahu berkongsi kasih. Lagipun saya tidak sanggup diperlakukan seperti orang yang hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Buat apa bersuami kalau sepanjang masa tidak ada di rumah. Asyik berkepit dengan isteri baru saja. Saya reda dia bernikah dengan sepupunya. Kalau itu takdir saya, saya terima dengan lapang dada. “Sebagai manusia biasa tahap kesabaran seseorang itu ada hadnya. Begitu juga dengan saya. Yang lain biar saya simpan di hati sebab pada saya setiap masalah rumah tangga perlu diselesaikan oleh tuan empunya diri sahaja. Orang lain tidak boleh campur.

‘’Setelah menunggu hampir enam bulan dan tidak ada perubahan di pihak suami, saya akhirnya memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah kerana tidak tahan lagi diabaikan suami. “Sudahlah tidak pulang ke rumah selepas bernikah lain, nafkah anak dan tanggungjawab zahir batin kepada saya juga tidak dilunaskan. Saya nekad untuk menuntut cerai kerana sudah tidak dapat menerima dia lagi dalam hidup saya. “Mujur keluarga terutama mak, ayah dan abang memberi sokongan kepada saya. Alhamdulillah akhirnya saya dibebaskan dengan talak satu setelah hampir enam bulan naik turun mahkamah. Anak secara automatik di bawah jagaan saya.

“Saya tidak tahu kenapa suami boleh berubah dengan begitu mudah, adakah kerana sabotaj ibu mentua atau memang suami ingin kembali kepada sepupunya? Sehingga kini saya tidak pernah bertanya dan tidak ingin ambil tahu. “Saya gembira dengan kehidupan saya sekarang. Walaupun sedih terpaksa jadi ibu tunggal di usia muda, ia ada hikmah tersembunyi. Rezeki saya dan anak melimpah-limpah dan saya juga dinaikkan pangkat. “Buat masa ini, saya tidak langsung teringin untuk mencari pengganti sebab serik dengan apa yang berlaku.

Baik macam mana kita dengan suami, bercinta sampai empat tahun, kalau dia nak tinggalkan kita, dia akan buat juga. “Kepada mertua, jangan lihat kebaikan anak sahaja dan menyalahkan menantu. Tegur perangai anak sendiri dulu sebelum nak salahkan menantu.

Saya harap para suami dapat berfikir dengan matang sebagai lelaki, suami dan bapa. Jangan ambil mudah masalah rumah tangga. “Belajar untuk menjadi suami dan bapa yang bertanggungjawab. Bukan nikah cerai, nikah cerai macam salin baju. Ingat di dunia mungkin anda terlepas, tetapi di akhirat…balasan Allah pasti menanti!’’ tegas Hasni menamatkan ceritanya.

Kagum saya dengan semangat yang ditunjukkan oleh Hani dalam memperjuangkan hak dan mempertahankan kedudukannya sebagai isteri. Kekuatan dan semangat inilah yang harus ada pada semua wanita yang bergelar isteri apabila berdepan dengan masalah rumah tangga. Jangan mengalah pada keadaan. Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, walau yang datang itu badai dan ombak yang mengganas, bertabahlah kerana di antara waktu-waktu itu, ada bahagia yang menunggu! Salam.

Sumber

Hairan Suami Selalu Pulang Rumah Mak.. Akhirnya Terbongkar Juga Apa Yang Suami Buat Di Rumah Maknya !!! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Unknown